Pages

Thursday, 22 March 2012

PERADUAN BERKONGSI PENGALAMAN MISTERI

 SYARAT UTAMA KELAYAKAN 


  • 1.   Cerita yang hendak disampaikan mestilah berdasarkan PENGALAMAN SENDIRI
  • 2.   Pengalaman yang benar-benar dialami, bukan rekaan/imaginasi DAN BUKAN BERDASARKAN KISAH ORANG LAIN (cth: Sahabat/Sanak-saudara)

KISAH PENGALAMAN HENDAKLAH DISERTAKAN DENGAN 
 

  • 1.     Tarikh serta waktu secara spesifik (cth: 25 Januari 2001, 12:50 a.m), atau secara kasar (cth: Januari 2001, 12 malam ke atas).
  • 2.   Lokasi kejadian secara spesifik (cth: No 66, Jalan Emas 3, Taman Momok, Cheras, KL), atau  secara kasar (cth: kawasan perumahan daerah Cheras, KL)
  • 3.   Nama sebenar orang yang mengalami.


Sekiranya anda tidak mahu identiti anda, orang yang terlibat dan lokasi sebenar disiarkan, sila sertakan nama samaran yang anda ingini dan lokasi secara kasar sahaja. Pemenang akan dinilai berdasarkan jumlah “Like”. Untuk penyertaan, sila e-mail cerita anda ke ceciterjamiejit@gmail.com 


Tarikh akhir penyertaan adalah pada 14 APRIL 2012 




Sila sertakan nama penuh, alamat dan nombor telefon rumah/bimbit untuk tujuan penyerahan hadiah.
Pemenang akan dihubungi melalui e-mail ATAU telefon.




5 PEMENANG BERTUAH AKAN BERPELUANG MEMENANGI SENASKAH BUKU EKSKLUSIF HASIL KARYA JAMIE SURINA DAN KARYA  YANG TERPILIH AKAN DISIARKAN DI DALAM BLOG CECITER MISTERI

MITOS 72 JIN SOLOMON 

 

Wednesday, 21 March 2012

Mak Zah, Apa Tu...??? (BHG 2)

KLIK DISINI UNTUK MEMBACA BAHAGIAN PERTAMA 

Pada suatu malam, Mak Zah menonton televisyen sambil menunggu suaminya pulang dari kerja manakala anak-anaknya sibuk dengan tugasan sekolah. Sedang mereka leka, tiba-tiba mereka terdengar lagi bunyi ketukan yang bertalu-talu. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Mak Zah yakin ketukan tersebut bukan dari pintu utama rumah seperti yang dikatakan anak bongsunya. Akan tetapi, anak perempuan dan anak sulungnya berkata ketukan tersebut datang dari arah almari bilik tidur utama. Masing-masing berada dalam ketakutan dan Mak Zah mengarahkan supaya mereka membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Tidak cukup dengan itu, Mak Zah memasang CD bacaan Ruqyah bagi menghilangkan rasa takut. Apabila suami Mak Zah pulang, mereka mengambil keputusan untuk tidak menceritakan perkara tersebut.

 Berikut adalah keterangan berkenaan 

Malam itu, anak perempuan Mak Zah tidur di antara Mak Zah dan suaminya. Sewaktu tidur, Mak Zah terkejut kerana dia merasakan punggungnya dicuit. “Kurang hajar betul hantu ni molest aku,” bisik hati kecil Mak Zah namun dia terus berpura-pura tidur. Suami Mak Zah terjaga pada jam 4 pagi dan seperti kebiasaan, dia akan menjerang air dan menyiapkan sarapan untuk anak-anak yang akan ke sekolah pada jam 6 pagi. Mak Zah yang masih lagi berbaring di katil, tersentap. Dengan tiba-tiba, suaminya memasang CD bacaan Ruqyah. Hati Mak Zah menjadi tak keruan namun dia merasakan agak berat untuk bertanya mengapa suaminya memasang CD bacaan Ruqyah itu. Selama 2 pagi berturut-turut, suaminya melakukan hal yang sama.

Suami dan anak-anak Mak Zah telah keluar rumah menjalankan tugas masing-masing. Yang tinggal Cuma anak sulungnya yang akan ke sekolah pada pukul 6.30pagi. Mak Zah pula akan menunaikan solat subuh pada waktu itu. Arah kiblat di dalam bilik utama betul-betul membelakangkan almari. Di luar pintu almari pula tergantung sebatang penyangkut baju. Pagi itu, sewaktu dia sedang khusyuk menunaikan sembahyang, tiba-tiba Mak Zah terdengar seperti ada sesuatu yang bermain-main dengan penyangkut baju yang tergantung. Diselangi pula dengan bunyi ketukan dari dalam almari. Apatah lagi almari tersebut letaknya benar-benar dibelakang Mak Zah. Hilang segala khusyuk yang ada. Mak Zah menyegerakan solatnya. Sejak bermulanya gangguan tersebut, setiap kali hendak mengerjakan solat subuh, perkara yang sama akan berlaku.

Inilah almari yang dikatakan Mak Zah


Mak Zah tidak lagi selesa untuk bersendirian di dalam rumah itu. Jadi, setiap kali suami dan anak-anaknyaa keluar, dia akan menyusul untuk bersenam dan hanya akan pulang ke rumah pada jam 10 pagi. Selesai berjogging, Mak Zah ke pasar dan terus pulang ke rumah. Perkara pertama yang dilakukan adalah mandi. Sewaktu di dalam bilik air, sekali lagi Mak Zah dicuit dari belakang. “Gatalnya hantu ni,” getus hati Mak Zah. Dia mempercepatkan mandiannya dan kemudian terus ke dapur untuk masak.

Jika berdua, cuit-mencuit ibarat gurau senda tapi jika dicuit ketika
berseorangan, itu dah dikira GURAU KASAR.


Seperti yang dijangkakan dan yang telah diceritakan pada bahagian pertama, apabila Mak Zah memasak nasi, ianya tetap menjadi mentah! Mak Zah menelefon suaminya dan mengatakan bahawa dia tidak akan memasak pada hari itu kerana nasi yang dimasak sentiasa mentah. Suaminya akur dan menyuruh Mak Zah membeli sahaja makanan dari luar.

Selang beberapa hari kemudian, ibu mertua Mak Zah datang ke rumah tersebut. Mak Zah berasa lega kerana sekurang-kurangnya ibu mertuanya boleh menjadi peneman. Namun ibu mertuanya acapkali menegur kenapa nasi yang dimasak lembik menjadi mentah.

Ibu mertua bergambar di dapur puaka


Suatu malam, suami Mak Zah mengajaknya meninjau rumah asal yang sedang dalam proses pengubah suaian. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah sewa, Mak Zah segera bertanya perihal suaminya memasang CD bacaan Ruqyah selama 2 pagi berturut-turut. Pada mulanya, suami Mak Zah enggan menceritakan namun setelah dipujuk barulah suaminya bercerita. Katanya, sewaktu dia hendak ke dapur menjerang air, dia terdengar bunyi seruling dimainkan. “Macam ada lagu datang dari arah bilik air dapur,” kata suami Mak Zah. Untuk memastikan hal itu, suaminya masuk ke dalam bilik air tersebut untuk membuang air. Ternyata bunyi seruling yang dihasilkan amat kuat berlagu. Dia kehairanan dan merasa tidak selesa lalu diputarkan CD bacaan Ruqyah. Pagi kedua, bunyi yang sama kedengaran namun kali ini, bunyinya agak perlahan dari pagi sebelumnya. Diputarkan lagi CD bacaan Ruqyah.

Selesai suaminya bercerita, barulah Mak Zah membuka mulut berkenaan apa yang dialaminya. Suaminya berpesan supaya hal tersebut jangan diceritakan kepada anak-anak. Bimbang mereka menjadi takut.

Apabila tiba minggu kedua, Mak Zah dan keluarga sibuk berkemas dan menghantar sedikit demi sedikit barang-barang ke rumah asal mereka yang hampir siap. Malam itu Mak Zah, suami serta 2 orang anak lelakinya pergi menghantar barang. Tinggallah anak perempuannya bersama ibu mertua Mak Zah di rumah sewa. Sebelum pergi, Mak Zah berpesan kepada anak perempuannya supaya tidak membuka pintu jika ada yang mengetuk. Selesai menghantar barang, mereka pulang. Sampai sahaja di rumah, ibu mertuanya berkata, “Masa kau orang tak ada tadi, ada orang ketuk pintu,”. Anak perempuannya merasa resah dan terus memasang bacaan Al-Quran menggunakan laptopnya, serta-merta bunyi tersebut berhenti.

Kejadian seterusnya berlaku ketika Mak Zah sedang bersiap-siap hendak melakukan riadah pagi. Sewaktu dia memandang cermin solek di bilik utama yang menghadap pintu bilik, Mak Zah terpandang akan sebuah objek bewarna hitam berlari laju dari arah pintu utama rumah menuju ke dapur. Sewaktu kejadian, pintu utama rumah dibiarkan terbuka, namun setelah diperiksa, tiada sesiapa pun yang berada di dalam rumah tersebut.

Sepanjang 2 minggu “dihiburkan”, tiba masanya Mak Zah dan keluarga pulang ke rumah asal mereka yang telah siap diubah suai. Suami Mak Zah berkata, sewaktu ingin memulangkan kunci rumah sewa kepada tuannya, dia naik kembali ke rumah itu untuk memeriksa jika ada apa-apa yang tertinggal. Tuan rumah juga ada bersama-samanya. Suami Mak Zah memujuk tuan rumah supaya menceritakan perihal penyewa sebelumnya. Akhirnya tuan rumah akur. Dia menjelaskan bahawa rumah tersebut sebelum ini disewa oleh seorang lelaki warga Thailand selama beberapa tahun. Selepas beberapa bulan rumah tersebut kosong, Mak Zah dan keluarga pula yang menyewa.

Suami Mak Zah segera menceritakan kejadian-kejadian aneh yang berlaku di dalam rumah itu selama mereka tinggal di situ. “Rumah awak, malam-malam bunyi seruling. Isteri dengan anak-anak saya pun dengar ketuk-ketuk pintu, dinding dan dari dalam almari. Masak nasi pun selalu mentah!” kata suami Mak Zah. Tuan rumah tersebut menjadi takut dan kemudian wanita itu masuk ke dalam bilik air di dapur dan berkata, “Kau pergilah! Jangan ganggu dalam rumah ni!!”. Kemudian, tuan rumah dan suami Mak Zah keluar dari rumah tersebut. Wanita itu menyatakan hasratnya untuk menjual rumah itu.

Itulah kisah rumah yang sehingga kini belum dapat dirungkai misterinya. Rumah yang terletak di blok 269, Yishun St 22 itu terus menjadi tanda tanya. Ada yang berani nak jengah? Sila hubungi saya jika ada yang berminat.

Terima kasih tak terhingga kepada Mak Zah Shiqa dan keluarga kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami.

Gambar Hiasan dari filem Hantu Kak Limah Pulang Ke Rumah

Mak Zah, Apa Tu...??? (BHG 1)

Kejadian yang akan anda baca sebentar lagi, dialami sendiri oleh salah seorang sahabat Facebook penulis yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Mak Zah Shiqa. Lokasi kejadian adalah di Yishun, Singapura.


Sekitar Febuari pada 3 tahun yang lepas (2009), Mak Zah serta keluarganya terpaksa mencari sebuah rumah lain untuk disewa kerana ingin melakukan “major renovation” kepada rumah asal mereka. Selepas suaminya berangkat ke tempat kerja, Mak Zah giat mencari rumah sewa di dalam akhbar. Puas mencari rumah sewa di dalam akhbar, Mak Zah beralih pula pada internet dan akhirnya berjaya mendapatkan rumah sewa yang lengkap dengan perkakas rumah asas di daerah Yishun. Mak Zah terus menghubungi nombor ejen yang tertera dan membuat temujanji untuk berjumpa secepat mungkin. Ejen tersebut tiba bersama-sama pemilik rumah yang ingin disewa. Setelah berbincang dan menetapkan harga sewa sebanyak S$1000 untuk 2 minggu, tanpa berlengah lagi, mereka sekeluarga berpindah ke rumah pangsa 3 bilik tersebut pada petang hari yang sama dengan hanya berbekalkan barang-barang keperluan sahaja.

Sewaktu berbual-bual dengan pemilik rumah berkenaan, Mak Zah sempat bertanya, siapakah penyewa sebelum ini? Tuan rumah wanita itu enggan berbicara mengenainya. Sangkaan Mak Zah, mungkin penyewa yang terdahulu ada memberi masalah kepada tuan rumah sehingga dia tidak mahu menceritakan kepada Mak Zah. Mak Zah buang segala prasangka negatif dan mengelakkan dirinya dari membuat sebarang spekulasi sendiri walaupun ketika melangkahkan kaki ke dalam rumah itu, perasaannya menjadi kurang enak. Dia tidak mahu menceritakan perasaannya kepada anak-anak serta ibu mertuanya. Bimbang jika mereka membuat andaian yang bukan-bukan. Tanpa pengetahuan Mak Zah, anak-anaknya juga mengalami perasaan yang sama. 

Pada lewat petang, selesai sahaja mereka sekeluarga “pindah masuk”, Mak Zah mengeluarkan pakaian-pakaian kotor yang perlu dibasuh dan memasukkannya ke dalam mesin basuh yang tersedia. Suaminya pulang dari kerja tidak lama kemudian dan mereka menikmati makanan malam.

Mak Zah dan suaminya tidur di bilik utama, anak perempuan Mak Zah tidur di bilik sebelah manakala 2 orang anak lelakinya tidur di bilik yang sebuah lagi. Sudah menjadi kelaziman, pintu bilik mereka cuma dirapatkan separuh sahaja ketika tidur. 

Malam kedua, Mak Zah terjaga dari tidurnya. Dia merasakan seperti dirinya dikejut orang namun apabila matanya dibuka, tidak ada sesiapa pun yang berada di situ. Yang ada, cuma suaminya yang sedang nyenyak tidur. Mak Zah terpaku. Selang beberapa minit kemudian, dia terdengar derapan kaki berjalan di bahagian dapur. Mak Zah tidak berani hendak melihat siapa yang berada di dapur lalu memujuk perasaannya dengan mengatakan bahawa ianya hanya mainan perasaan. Mak Zah tertidur.

Bahagian dapur rumah yang menyimpan seribu misteri

Pagi hari yang ketiga, setelah anak-anaknya ke sekolah dan suaminya ke tempat kerja, Mak Zah terus ke pasar membeli sedikit barang dapur. Tengahari itu, lebih kurang jam 12, Mak Zah bercadang untuk memasak lauk kari ayam dan kemudiannya menanak nasi di atas dapur gas. Mak Zah jarang menggunakan periuk nasi elektronik kerana sudah terbiasa dengan cara masak tradisional. Sambil bertungkus-lumus di dapur, Mak Zah memasang radio kerana ingin menanti laungan azan Zohor. 

Ketika Mak Zah  memotong bawang dan ayam, dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apabila Mak Zah mengerling ke arah ruang tamu yang semememangnya mudah dilihat dari dapur, dia tenampak beberapa bayang-bayang bergantungan di atas siling rumahnya seperti berlari dan berkejaran antara satu sama lain. Mak Zah endahkan kerana sememangnya mata Mak Zah rabun. Dia meneruskan tugasnya di dapur sehingga kedengaran azan Zohor. Sebelum dia menunaikan solat, dia menanak nasi.

Bahagian ruang tamu yang sering kelihatan
bayang-bayang hitam bergantungan di silingnya.


Selesai solat, dia menjengah ke dapur untuk memeriksa nasi yang ditanak. Kecewanya hati Mak Zah kerana nasi yang dimasak menjadi terlalu lembik. “Mungkin banyak sangat air aku letak ni,” getus hati Mak Zah. Dia mengambil sejemput nasi tersebut, lalu disuakan kedalam mulutnya. “Eh, mentah? Macamana nasi yang lembik boleh mentah? Aku beli beras pulut ke?” Mak Zah kehairanan. Dia memeriksa beras yang dibelinya sebentar tadi. Memang itulah beras yang selalu dibelinya sejak sekian lama. Dengan berat hati, Mak Zah membuang nasi itu dan menanak nasi yang baru. Kali ini, air disukat dengan teliti supaya kejadian yang sama tidak berulang lagi. Mak Zah sanggup menunggu di dapur sehingga nasi tersebut masak.

Alangkah terperanjatnya Mak Zah apabila nasi yang dimasak untuk kali yang kedua itu menerima nasib yang sama. Teksturnya lembik seperti terlebih air, tetapi rasanya mentah. Bukan sekali dua Mak Zah memasak nasi di atas dapur gas. Boleh dikatakan seumur hidupnya, begitulah cara dia memasak nasi. Mana mungkin dia silap 2 kali berturut-turut? Ditenungnya nasi yang mentah itu. Lama-kelamaan, Mak Zah perasan sesuatu yang lebih membingungkan. Warna nasi tersebut bertukar menjadi seakan-akan warna unggu. “Teruk dah rabun aku  ni,” ngomel Mak Zah. Diangkatnya periuk nasi itu dan dibawa ke tepi tingkap untuk mendapatkan cahaya matahari yang diharap dapat membantu penglihatannya. “Sah, nasi ni warna ungu!!”, hati Mak Zah mula resah. Tidak lama kemudian, anak-anaknya pulang. “Nasi aku masak tak jadi. Kau orang makan kari ayam dengan roti,” pesan Mak Zah pada anak-anaknya.

Anda  pernah makan nasi ungu?

Menjelang maghrib, Mak Zah mengajak anak sulungnya sembahyang berjemaah di dalam bilik. Selesai memberi salam, mereka terdengar satu ketukan yang sangat kuat dari dalam dinding bilik itu. Oleh kerana Mak Zah sudah berpesan supaya jangan ditegur jika mendengar atau ternampak sesuatu, maka masing-masing diam membisu. Bermula dari hari itu, setiap kali selesai solat maghrib, mereka akan mendengar ketukan yang sama, ketukan dari dalam dinding bilik.

BERSAMBUNG....