Pages

Tuesday, 28 February 2012

Jambu Air

Pada suatu petang yang nyaman, seorang bapa dan anak remajanya yang berasal dari Kota Singa pergi menziarahi sanak saudara mereka di daerah Pontian, Johor. Sudah lumrah, apabila melawat sanak saudara di sana, si bapa dan si anak ini pasti menerokai kawasan-kawasan semak dan belukar di tepi hutan sambil mencari sayur pucuk paku dan pucuk ubi untuk dijadikan santapan malam nanti.

Gambar Hiasan
Sedang Pak Attan dan anaknya, Saleh memetik sayur-sayuran, dia terpandang akan sebuah tempat di dalam kawasan hutan yang jauhnya terletak kira-kira 50 meter dari lokasi mereka berdua berdiri. Entah mengapa, Pak Attan amat tertarik dengan kawasan itu. Terdetik juga dalam hatinya, mana mungkin di dalam hutan yang dipenuhi semak samun, wujud sebuah tempat yang lapang dan bersih tanpa ada sehelai pun daun kering di atas tanahnya.

Gambar Hiasan

Pak Attan membuang jauh-jauh tanggapan buruk dan mengajak anaknya pergi ke kawasan tersebut. Tanahnya rata, angin yang berhembus sungguh mengasyikkan dan ditengah-tengahnya, terdapat pula sebatang pohon jambu air yang dipenuhi dengan buah jambu air yang ranum dan merah. Tapi pelik! Jambu airnya cuma bersaiz sebesar separuh ibu jari orang dewasa. Tanpa berlengah lagi, Pak Attan menyuruh Saleh mencari apa-apa objek yang boleh dijadikan beg bagi mengisi jambu-jambu tersebut. Dengan pantas, Saleh berlari keluar dari kawasan itu dan mula mencari di tepian semak samun. 

Gambar Hiasan

"Ah, memang sudah tertulis rezeki kepunyaan mereka," cetus hati kecil Saleh. Sambil menggenggam erat beg plastik kuning yang ditemui, dia berlari menuju ke arah bapanya. Tanpa membuang masa, bapa dan anak itu mengumpul seberapa banyak buah "jambu mini" yang mereka mampu. Hampir penuh beg plastik itu. Niat mereka adalah untuk menghidangkan kepada keluarga serta sanak saudara selepas makan malam nanti, namun oleh kerana tidak sabar ingin merasai buah jambu air yang unik itu, mereka memakannya sambil berjalan pulang menuju ke rumah.

Setibanya di rumah, Pak Attan memberikan bungkusan plastik berisi jambu air mini dan sayur yang mereka pungut sebentar tadi kepada isterinya. Apabila melihat rupa "jambu unik" itu, masing-masing tidak berani untuk menjamah waima sebiji pun. Pak Attan membasuh buah jambu tersebut dan membawanya ke ruang tamu. Sambil menanti makan malam dihidangkan, Saleh dan Pak Attan terus menikmati buah jambu.

Makan malam ala kampung yang dihidangkan, membuka selera Saleh. Walaupun "kenyang jambu air", lauk ikan masin, pucuk paku masak lemak, pucuk ubi rebus ikan goreng dan sambal belacan, membuatkan Saleh menambah nasi dua kali.





Malam itu, Saleh terjaga dari tidurnya dengan perut yang memulas dan rasa mual. Dia berlari ke belakang rumah lalu muntah dengan banyaknya. Lebih menghairankan, Saleh hanya memuntahkan buah jambu air dan tidak ada sebutir nasi atau lauk pun yang terkandung di dalam muntah itu. Hendak dikatakan keracunan, pasti serpihan pucuk paku dan pucuk ubi akan menyusul sama dan Pak Attan pun mungkin menerima nasib yang serupa. Namun tidak. Saleh merasakan jumlah muntahnya sama banyak dengan jumlah jambu air yang dimakan. Setelah itu, dia berasa amat lega dan menyambung tidur.

Dalam waktu yang sama, tidak seorang pun yang perasan bahawa Pak Attan sedang "bertarung" dengan sesuatu sewaktu tidur. Isteri Pak Attan cuma terdengar suaminya mengigau dan meracau. Dia beranggapan bahawa suaminya kepenatan menjelajah kawasan kampung.

Keesokkan pagi, sewaktu mereka bersarapan beramai-ramai, Saleh menceritakan kejadian yang dialami olehnya pada lewat malam tadi. Pak Attan dengan selambanya menjawab, "pokok jambu yang kita ambil semalam, ada tuannya. Dia datang pijak kepala aku malam tadi sambil marah-marah dan tanya kenapa tak minta izin dulu sebelum ambil,". Semua tercengang mendengar penjelasan Pak Attan. Kepunyaan siapa atau apakah pohon itu? Wallahu'alam.

Selesai berkemas untuk pulang ke Singapura, Pak Attan mengambil keputusan untuk singgah di kawasan pohon jambu dan memulangkan lebihan buah jambu air yang tidak dimakan ke tempatnya. Pak Attan dan Saleh yakin dan ingat di mana tempatnya, namun apabila mereka tiba di lokasi itu dan melihat ke arah tanah lapang semalam, ternyata ianya tidak kelihatan lagi. Seolah-olah tempat itu tidak pernah wujud. Ianya dipenuhi dengan pokok-pokok yang besar dan semak yang tebal. Mereka mengambil keputusan untuk mencampakkan lebihan buah jambu air ke dalam kawasan semak dan sehingga hari ini, "tanah lapang" tersebut terus menjadi misteri. Bunian? Jembalang Tanah? Jin Hutan? Hanya Tuhan yang mempunyai jawapannya.

P/S: Pak Attan@Allahyarham Attan Bin Shamsuddin merupakan bapa mertua penulis dan Saleh@Salehudin Bin Attan merupakan suami kepada penulis. Kisah ini diceritakan kepada penulis oleh Saleh sendiri yang ketika itu berumur belasan tahun. Kejadian tersebut berlaku pada awal tahun 70-an.