Iklan EKSKLUSIF

Artikel TERKINI

Monday, 30 April 2012

Misteri Dimensi Di Bedok Reservoir Road?

Pernahkah anda mengalami kejadian aneh yang membuatkan anda tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku? Kejadian misteri berikut tidak dapat saya kaitkan dengan mana-mana "Cerita Hantu Melayu" yang pernah saya baca sebelum ini. Tidak ada wanita berambut panjang, berbaju putih dan mendukung bayi. Tidak ada bunyi-bunyian seram atau bau-bauan aneh, dan bermacam-macam lagi kejadian ngeri yang pernah kita baca atau alami. Jika sesiapa yang dapat merungkaikan misteri berikut dengan penjelasan logik, saintifik mahupun penjelasan batin, dipersilakan memberi komen. 


KEJADIAN BERLAKU DI SINI (A/B)



Jumaat, 28 Oktober 2011 

Selesai tugas di pejabat, Saleh bercadang untuk ke Johor Bahru kerana ada urusan yang harus diselesaikan. Pada kebiasaannya, jika terdapat urusan di Johor, Saleh akan mengayuh basikal dan pulang ke rumah dahulu untuk mandi. Entah mengapa hari itu dia begitu liat untuk mengayuh basikal dari Kaki Bukit ke Tampines. Saleh mengayuh basikal ke arah sebuah hentian bas yang berdekatan. Hentian bas tersebut terletak di Bedok Reservoir Road. Walaupun kawasan itu di kelilingi semak serta hutan, tiada rumah atau bangunan berdekatan, keadaannya tetap bersih dan terang walaupun pada malam hari. Sesudah merantai basikalnya di belakang hentian bas, Saleh menanti bas yang hendak ke Johor.

Selesai tugas di Johor, Saleh singgah di sebuah kedai menjual kuih muih dan membeli beberapa potong Bingka Ubi untuk dibawa pulang ke rumah. Dia kemudiannya menaiki bas untuk pulang ke Singapura. Jam menunjukkan angka 10.30 malam. Sepanjang jalan, hujan turun dengan lebatnya dan menyebabkan bas 2 tingkat yang dinaiki Saleh bergerak dengan kadar yang agak perlahan. Sudah beberapa kali Saleh yang kepenatan tersengguk-sengguk di dalam bas menahan matanya yang berat.

Lebih kurang jam 12 malam, bas yang dinaiki sampai di hentian bas yang bertententangan jalan dari kawasan dia merantai basikalnya. Saleh berdiri sambil membetulkan urat-urat di badannya. Sambil itu dia memerhatikan seorang lelaki cina dalam lingkungan umur 60-an, berbaju putih dan berseluar pendek coklat muda, berdiri berdekatannya. Saleh berjalan menuju ke tangga untuk menuruni bas, diikuti dengan lelaki cina tadi. Saleh amat pasti bahawa lelaki itu ikut menuruni tangga sama-sama dengannya. Sesudah memijak lantai perhentian bas, Saleh mara 4 tapak kehadapan untuk memberi ruang kepada lelaki cina tersebut turun. Saleh memusingkan badannya menghadap pintu bas. Ditoleh kiri dan ke kanan, belakang dan ke hadapan kembali. Dia melihat pula ke dalam bas yang baru sahaja menutup pintunya. Aneh!!! KEMANA PERGINYA LELAKI CINA ITU??!!! Jika lelaki tua itu berjalan selaju mana pun, Saleh pastinya akan ternampak lelaki itu di kiri, kanan atau di seberang jalan. Sekurang-kurangnya, Saleh dapat mendengar derapan kaki orang itu jika dia berlari. Jika hendak dikatakan lelaki tersebut sememangnya tidak turun dari bas, Saleh menoleh kembali ke dalam bas berkenaan, namun tidak juga kelihatan. Lelaki tua itu seolah-olah ghaib bersama angin lalu.


Saleh menghela nafas. Walaupun dirinya sedang dalam kebingungan, Saleh bertindak untuk tidak mengendahkan kejadian yang baru berlaku sebentar tadi. Memandangkan hujan masih turun dengan kadar yang agak deras, Saleh mengambil keputusan untuk duduk sebentar di pondok tersebut dan berharap hujan akan reda tidak lama lagi. Dia mengeluarkan bungkusan dari begnya dan menikmati kuih yang dibeli di Johor.


Sedang dia menikmati juadahnya, tiba-tiba sebuah bas lain datang dan berhenti di perhentian bas itu. Sekali lagi Saleh kehairanan. Apa yang lebih memusykilkan, pintu bas dibuka luas. Saleh memandang ke arah pemandunya dan berharap kalau-kalau pemandu itu ingin berkomunikasi dengannya. Tidak, pemandu tersebut sikit pun tidak memandang muka Saleh tetapi memandang ke arah tangga bas seolah-olah ada penumpang yang sedang naik. Saleh memerhatikan sahaja gelagat si pemandu bas. Lirikan mata pemandu itu seolah-olah sedang mengekori sesuatu yang sedang bergerak!! Apa sebenarnya yang dilihat pemandu itu? Adakah lelaki cina yang dilihat Saleh sebentar tadi? Pintu bas ditutup dan bas itu berlalu seperti biasa. Saleh terpinga-pinga.

(Para pembaca CECITER MISTERI, di Singapura, selepas jam 10malam, bas awam akan berhenti hanya apabila terdapat penumpang turun ataupun terdapat penumpang yang menahan kenderaan tersebut. Mereka tidak akan berhenti jika orang yang berada di perhentian bas sedang duduk dan tidak menunjukkan tanda-tanda hendak menaiki bas).

3 minit berlalu. Kali ini, sebuah kereta hitam memperlahankan kenderaannya di perhentian bas itu. Saleh sangkakan pemandunya ingin bertanya arah jalan. Namun, sangkaannya meleset. Kereta tersebut berhenti melepasi petak hentian bas. Lampu kecemasan dihidupkan. Cerminnya sedikit gelap namun dari belakang, Saleh hanya dapat melihat bahagian kepala lelaki di dalam kereta itu. Saleh menjeling ke arah nombor pendaftaran kenderaan itu. E555*.... "Hmm, unik juga nombor ni," kata Saleh. Mungkin sedang menggunakan telefon bimbit atau mungkin terlalu mengantuk untuk memandu? Tanya Saleh di dalam hatinya. 10 minit berlalu. Hujan turun tidak selebat tadi dan hanya renyai-renyai. Saleh mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Sebelum itu dia harus melintasi jalan bagi mengambil basikal yang dirantai di perhentian bas seberang jalan.


Oleh kerana tiada kereta yang melalui kawasan tersebut pada waktu itu, Saleh berjalan dengan perlahan. Tiba di tengah-tengah pembahagi jalan, lebih kurang 5 atau 7 meter dari kereta tersebut berhenti, Saleh mematikan langkahnya. Entah mengapa keinginannya untuk melihat kereta itu sangat kuat. Saleh menoleh kebelakang. Sekali lagi Saleh dikejutkan dengan kejadian yang aneh. Kereta tersebut lesap. Saleh menoleh ke kiri dan ke kanan. Jika kereta tersebut memecut sejauh mana sekali pun, Saleh pasti dapat melihat kerana jalan tersebut lurus sejauh mata memandang. Mustahil dalam jarak 5 atau 7 meter, Saleh tidak dapat mendengar deruan enjin kereta atau bunyi tayar berjalan. Bau asap juga tiada!!!

Tanpa berlengah lagi, Saleh terus berlari-lari anak menuju ke arah basikalnya. Rantai basikal dibuka dan Saleh mengayuh basikal pulang ke rumah yang terletak di Tampines. Di sepanjang perjalanan, Saleh tidak langsung memikirkan hal-hal yang berlaku sebentar tadi. Sesudah mandi, dia menghidupkan komputer dan terus berbual dengan isterinya yang berada di Kuala Lumpur melalui panggilan video. Dia menceritakan segala-gala yang berlaku kepadanya di perhentian bas sebentar tadi. Apabila isterinya mengatakan yang dia "diusik", barulah Saleh tersedar. Rupa-rupanya, apa yang dialaminya tadi bukanlah pengalaman biasa.


Adakah perkara-perkara yang dialami Saleh melibatkan alam ghaib dan makhluk halus? Atau adakah penjelasan dari segi saintifik berkenaan hal ini. Adakah ianya fenomena "Parallel Universe" seperti yang dikatakan pemilik blog http://www.cecitermotivasi.com/ ???




"LIKE" kisah MISTERI ini...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Iklan Teks :

Telekung IMPORT Vietnam/Indonesia/Organza - KLIK

Anda mencari HOMESTAY di KELANTAN Pada Harga Ekonomi? - Klik

Ingin TERJEMAH Dokumen/Web/Produk Anda kepada bahasa Inggeris/Melayu/Korea? - Klik

Jawatan kosong: Pekerja Part-Time Di Perlukan

Artikel Popular Minggu Ini