Ikut Pak Halim Sembahyang Asar
"NAKK! Bangun nakk...!" terngiang-ngiang suara dari belakang. Ketika itu mata saya tertutup separuh. Kepala saya masih lagi berpusing-pusing pening lalat. Apabila saya celikkan mata, saya sedang terjelopok berada di pinggir sebuah hutan.
Saya memandang sekeliling, pepohon merimbun melatari pandangan mata. Lalu saya tenyeh-tenyeh mata lagi. Saya bangun dengan lemah longlai, saya lihat pintu kereta saya terbuka luas. Saya jadi bingung, bila masa pintu kereta terbuka, dan kenapa saya berada di lantai pinggir hutan di sini?
Saya bingkas bangun menuju ke arah kereta dan melihat pada jam kereta, sudah pukul 6.00 lebih. Apa berlaku tadi?
"Nakk... kamu nak ke mana?"" saya segera tersentak dan menoleh ke belakang.
"Tak tahu!" jawab saya kebingungan.
Seorang lelaki tua berserban dan berjubah putih berdiri di belakang saya. Kulitnya putih, sedikit berkedut pada dahi, bawah mata, manakala kumis dan janggutnya juga beruban putih. Saya lihat waja lelaki tua di hadapan saya ini begitu bersih. Beberapa ketika kemudian lelaki tua itu bertanya lagi kepada saya.
"Dah solat Asar?" soalnya lembut. Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala setelah termangu memandang lelaki tua itu.
"Mari ikut Pak Halim pergi surau, solat Asar!" katanya dengan ringkas memperkenalkan diri sebagai Pak Halim walaupun saya tak bertanya namanya. Tanpa banyak soal saya mengangguk.
Lalu Pak Halim naik kereta saya dan duduk di sebelah. Entah mengapa saya menurut saja kata Pak Halim. Lalu saya terus memandu keluar dari pinggir hutan tadi masuk ke sebuah simpang di mana letaknya sebuah surau lama.
Pak Halim Beri Duit Lama
Pak Halim menceritakan dia ternampak saya sedang memandu dalam kebingungan menuju ke suatu destinasi di kawasan perkampungan ini. Pak Halim nampak di sebelah saya duduk seorang perempuan cantik.
Apabila menyedari saya seolah-olah dipukau perempuan cantik itu, Pak Halim datang menyelamatkan saya lalu mengusirnya. Kemudian perempuan cantik itu terbang menerusi tingkap kereta saya.
Pak Halim turut memberitahu saya perempuan yang duduk menganggu saya tadi sebenarnya berhajat hendak berkahwin dengan saya. Impiannya mahu memiliki saya sudah lama, sejak saya belum berkahwin lagi.
Menurut kata Pak Halim lagi, perempuan yang duduk di sebelah saya semalam akan terus mengganggu saya hinggalah dia berjaya memiliki saya.
Selepas dia memberitahu perihal perempuan yang mengganggu saya tadi, Pak Halim memberi saya sebotol air Yasin sebanyak 1.5liter. Pak Halim turut memberi saya tiga keping duit lima ringgit.
Apakah yang sebenarnya terjadi kepada saiful sehinggakan dia tersadai di pinggir hutan? Siapakah Pak Halim dan siapakah wanita cantik itu? Benarkah air yang diberi Pak Halim itu, air Yasin dan kenapa Pak Halim memberi tiga keping wang kertas lima ringgit kepada Saiful? Ingin tahu kisah selanjutnya? Dapatkan MASTIKA SEPTEMBER 2012 yang sememangnya sedang laris di pasaran jika anda ingin mengetahui sebab dan kesudahan cerita Saiful!!