Iklan EKSKLUSIF

Artikel TERKINI

Tuesday 28 February 2012

Jambu Air

Pada suatu petang yang nyaman, seorang bapa dan anak remajanya yang berasal dari Kota Singa pergi menziarahi sanak saudara mereka di daerah Pontian, Johor. Sudah lumrah, apabila melawat sanak saudara di sana, si bapa dan si anak ini pasti menerokai kawasan-kawasan semak dan belukar di tepi hutan sambil mencari sayur pucuk paku dan pucuk ubi untuk dijadikan santapan malam nanti.

Gambar Hiasan
Sedang Pak Attan dan anaknya, Saleh memetik sayur-sayuran, dia terpandang akan sebuah tempat di dalam kawasan hutan yang jauhnya terletak kira-kira 50 meter dari lokasi mereka berdua berdiri. Entah mengapa, Pak Attan amat tertarik dengan kawasan itu. Terdetik juga dalam hatinya, mana mungkin di dalam hutan yang dipenuhi semak samun, wujud sebuah tempat yang lapang dan bersih tanpa ada sehelai pun daun kering di atas tanahnya.

Gambar Hiasan

Pak Attan membuang jauh-jauh tanggapan buruk dan mengajak anaknya pergi ke kawasan tersebut. Tanahnya rata, angin yang berhembus sungguh mengasyikkan dan ditengah-tengahnya, terdapat pula sebatang pohon jambu air yang dipenuhi dengan buah jambu air yang ranum dan merah. Tapi pelik! Jambu airnya cuma bersaiz sebesar separuh ibu jari orang dewasa. Tanpa berlengah lagi, Pak Attan menyuruh Saleh mencari apa-apa objek yang boleh dijadikan beg bagi mengisi jambu-jambu tersebut. Dengan pantas, Saleh berlari keluar dari kawasan itu dan mula mencari di tepian semak samun. 

Gambar Hiasan

"Ah, memang sudah tertulis rezeki kepunyaan mereka," cetus hati kecil Saleh. Sambil menggenggam erat beg plastik kuning yang ditemui, dia berlari menuju ke arah bapanya. Tanpa membuang masa, bapa dan anak itu mengumpul seberapa banyak buah "jambu mini" yang mereka mampu. Hampir penuh beg plastik itu. Niat mereka adalah untuk menghidangkan kepada keluarga serta sanak saudara selepas makan malam nanti, namun oleh kerana tidak sabar ingin merasai buah jambu air yang unik itu, mereka memakannya sambil berjalan pulang menuju ke rumah.

Setibanya di rumah, Pak Attan memberikan bungkusan plastik berisi jambu air mini dan sayur yang mereka pungut sebentar tadi kepada isterinya. Apabila melihat rupa "jambu unik" itu, masing-masing tidak berani untuk menjamah waima sebiji pun. Pak Attan membasuh buah jambu tersebut dan membawanya ke ruang tamu. Sambil menanti makan malam dihidangkan, Saleh dan Pak Attan terus menikmati buah jambu.

Makan malam ala kampung yang dihidangkan, membuka selera Saleh. Walaupun "kenyang jambu air", lauk ikan masin, pucuk paku masak lemak, pucuk ubi rebus ikan goreng dan sambal belacan, membuatkan Saleh menambah nasi dua kali.





Malam itu, Saleh terjaga dari tidurnya dengan perut yang memulas dan rasa mual. Dia berlari ke belakang rumah lalu muntah dengan banyaknya. Lebih menghairankan, Saleh hanya memuntahkan buah jambu air dan tidak ada sebutir nasi atau lauk pun yang terkandung di dalam muntah itu. Hendak dikatakan keracunan, pasti serpihan pucuk paku dan pucuk ubi akan menyusul sama dan Pak Attan pun mungkin menerima nasib yang serupa. Namun tidak. Saleh merasakan jumlah muntahnya sama banyak dengan jumlah jambu air yang dimakan. Setelah itu, dia berasa amat lega dan menyambung tidur.

Dalam waktu yang sama, tidak seorang pun yang perasan bahawa Pak Attan sedang "bertarung" dengan sesuatu sewaktu tidur. Isteri Pak Attan cuma terdengar suaminya mengigau dan meracau. Dia beranggapan bahawa suaminya kepenatan menjelajah kawasan kampung.

Keesokkan pagi, sewaktu mereka bersarapan beramai-ramai, Saleh menceritakan kejadian yang dialami olehnya pada lewat malam tadi. Pak Attan dengan selambanya menjawab, "pokok jambu yang kita ambil semalam, ada tuannya. Dia datang pijak kepala aku malam tadi sambil marah-marah dan tanya kenapa tak minta izin dulu sebelum ambil,". Semua tercengang mendengar penjelasan Pak Attan. Kepunyaan siapa atau apakah pohon itu? Wallahu'alam.

Selesai berkemas untuk pulang ke Singapura, Pak Attan mengambil keputusan untuk singgah di kawasan pohon jambu dan memulangkan lebihan buah jambu air yang tidak dimakan ke tempatnya. Pak Attan dan Saleh yakin dan ingat di mana tempatnya, namun apabila mereka tiba di lokasi itu dan melihat ke arah tanah lapang semalam, ternyata ianya tidak kelihatan lagi. Seolah-olah tempat itu tidak pernah wujud. Ianya dipenuhi dengan pokok-pokok yang besar dan semak yang tebal. Mereka mengambil keputusan untuk mencampakkan lebihan buah jambu air ke dalam kawasan semak dan sehingga hari ini, "tanah lapang" tersebut terus menjadi misteri. Bunian? Jembalang Tanah? Jin Hutan? Hanya Tuhan yang mempunyai jawapannya.

P/S: Pak Attan@Allahyarham Attan Bin Shamsuddin merupakan bapa mertua penulis dan Saleh@Salehudin Bin Attan merupakan suami kepada penulis. Kisah ini diceritakan kepada penulis oleh Saleh sendiri yang ketika itu berumur belasan tahun. Kejadian tersebut berlaku pada awal tahun 70-an.

Monday 13 February 2012

Potret Kehidupan Atau Potret Hidup?


Gambar Hiasan, Ihsan (KLIK)



Salam sejahtera pembaca yang budiman. 

Sekitar lewat 80'an dan awal 90'an, potret-potret yang datangnya dari negara jiran ibarat membanjiri negara kita. Berbagai jenis lukisan yang dapat kita lihat pada waktu itu dan kebanyakannya adalah potret yang di ilhamkan dari kuda, wanita berkemban atau wanita yang tidak berhijab dari pusat ke atas.

Sewaktu saya berumur 4 atau 5 tahun, sebuah keluarga dari Indonesia menghadiahkan 2 jenis potret kepada keluarga kami sebagai tanda terima kasih kerana bapa  tiri saya membantu mereka. Pada mulanya, bapa tiri saya enggan menggantung kedua-dua potret tersebut. Namun atas pujukan ibu saya yang amat menghargai seni, akhirnya dia akur. 

Potret pertama, merupakan seorang wanita cantik yang sedang duduk, bersanggul jawa dan bersubang besar. Potret tersebut digantung di bilik tidur utama atas sebab tidak mahu sesiapa yang datang ke rumah melihatnya. Kenapa? Kerana potret wanita itu menunjukkan jelas bahagian dadanya. Hasil karya tersebut amat halus sehingga menampakkan bahagian payudaranya secara terperinci.

Potret kedua pula, lebih kepada 'kekeluargaan'. Seorang wanita tua, mungkin si ibu, dan seorang wanita muda yang kemungkinannya si anak. Mereka duduk bertingkat di atas tangga, di pintu hadapan pondok mereka. Kelihatannya seperti si ibu sedang mencari kutu si anak. Kedua-duanya memiliki rambut yang mengerbang dan kusut-masai dan wajah mereka comot dengan kotoran, melambangkan kedaifan hidup mereka. Di sebelah si ibu, terdapat sebatang sikat kutu. Kami menggantung potret tersebut di dinding ruang tamu, berhadapan sebuah lagi bilik.
Gambar Hiasan.
Lukisan potret tersebut, hampir menyerupai gambar di atas.
Pada suatu hari, sepupu bapa tiri saya dan keluarganya datang dari Singapura bagi menziarahi kami sekeluarga. Saya memanggilnya Ami Karim, isterinya Cik Asma yang sedang sarat mengandung serta anak mereka yang saya panggil Isya, 3-4 tahun. Mereka bermalam di rumah saya. Sudah menjadi kebiasaan, mereka akan tidur di ruang tamu. Di tengah-tengah ruang tamu terdapat sebuah sofa kayu sebagai pembahagi antara ruang televisyen dan ruang untuk berbaring.

Ami Karim seorang yang amat kuat beribadah namun kelakar orangnya. Walaupun berjanggut dan bercelak tebal, dia amat sederhana dari segala aspek. Ibarat kata anak muda zaman sekarang 'Sempoi Habis'. Ketika segala isi rumah sedang nyenyak tidur, dia akan menghabiskan masa dengan melakukan solat di bilik tidur yang berhadapan dengan potret Ibu dan Anak, manakala isteri dan anaknya tidur betul-betul di kawasan potret tersebut digantungkan.

Pada malam ke-2 di rumah saya, sekitar 2 pagi, Ami Karim yang sedang khusyuk beribadah terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh. Dia tidak mengendahkan bunyi tersebut dan menganggap bunyi itu datang dari kucing liar di luar rumah. Dia meneruskan berzikir namun, posisi badannya diubah sedikit supaya dapat melihat isteri dan anaknya tidur, melalui ekor mata. 

Sedang asyik  berzikir, tiba-tiba dia merasakan bahang yang amat panas di sekelilingnya sehinggakan baju yang dipakainya basah. Keadaan panas itu juga mengganggu konsentrasi Ami Karim untuk meneruskan zikirnya. Dia mengambil keputusan untuk pergi ke dapur dan minum air. Sebaik sahaja kepala ditoleh ke luar pintu bilik, dia hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya!

Ami Karim terkaku. Apa yang dilihatnya ibarat sebuah mimpi sehinggakan dia meragui kewarasan dirinya sendiri. Hendak beristighfar pun dia tidak mampu ketika itu.

Perlahan-lahan 'Si Ibu' menggerakkan lengannya ibarat seorang yang sedang lenguh, menggerak-gerakkan badannya, bangun dari tangga, mukanya  berkedut seribu, menyeringai, jalan terbongkok-bongkok sambil tangannya dikembangkan dan......

DUBBB!!!! SI IBU TERJUN MENURUNI POTRET, KELUAR KE DUNIA NYATA!!!

Ami Karim masih lagi terpaku, sehinggalah makhluk itu mendekati anaknya Isya. Sewaktu Isya hampir sahaja digomol makhluk tersebut, Ami Karim yang ibarat baru sedar akibat ditampar, melaungkan Azan sekuat-kuat hatinya. Dengan serta merta makhluk itu bertukar menjadi asap nipis lalu menyusup kembali ke dalam potret itu. Seisi rumah terjaga lalu pengalaman yang dilaluinya sebentar tadi, diceritakan kepada ibu serta bapa tiri saya. Hampir menangis Ami Karim sewaktu dia memberitahu apa yang telah berlaku. 
Selesai bercerita, dia menurunkan potret tersebut, juga potret yang terdapat di dalam bilik utama. Dibalut kedua-dua potret itu dengan akhbar lama, lalu diletakkan di luar rumah. Pada keesokkan paginya, potret tersebut diberi kepada lori yang mengutip sampah dan sejak dari hari itu, saya tidak lagi melihat atau mendengar cerita berkenaan POTRET HIDUP lagi.
 

P/S: Lokasi Kejadian: Jalan Emas 20, Taman Sri Skudai, Johor. Kisah di atas adalah seperti yang diceritakan kepada sayaoleh Ami Karim dan Ibu saya sendiri.
Gambar Hiasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Iklan Teks :

Telekung IMPORT Vietnam/Indonesia/Organza - KLIK

Anda mencari HOMESTAY di KELANTAN Pada Harga Ekonomi? - Klik

Ingin TERJEMAH Dokumen/Web/Produk Anda kepada bahasa Inggeris/Melayu/Korea? - Klik

Jawatan kosong: Pekerja Part-Time Di Perlukan

Artikel Popular Minggu Ini