TUJUH Fenomena MISTERI Kehidupan
-
*TUJUH Fenomena MISTERI Kehidupan*
*1. Déjà Vu*
Déjà Vu adalah keadaan perasaan anda yang merasakan seperti pernah
mengalami peristiwa yang sedang berla...
Kami ingin tahu apa pendapat anda berkenaan objek yang ditunjukkan di dalam rakaman ini. Adakah ianya benar-benar UFO atau sekadar alat permainan yang berfungsi sebagai layang-layang atau helikopter kawalan jauh dihiasi lampu LED???
Mungkinkah 3 objek yang kelihatan di dalam rakaman ini merupakan pesawat perisik dari negara lain? Kami mengalu-alukan komen serta penjelasan mengikut teori anda sendiri.
Pada suatu malam, Mak Zah menonton televisyen sambil menunggu suaminya
pulang dari kerja manakala anak-anaknya sibuk dengan tugasan sekolah. Sedang
mereka leka, tiba-tiba mereka terdengar lagi bunyi ketukan yang bertalu-talu.
Masing-masing memandang antara satu sama lain. Mak Zah yakin ketukan tersebut
bukan dari pintu utama rumah seperti yang dikatakan anak bongsunya. Akan
tetapi, anak perempuan dan anak sulungnya berkata ketukan tersebut datang dari
arah almari bilik tidur utama. Masing-masing berada dalam ketakutan dan Mak Zah
mengarahkan supaya mereka membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Tidak cukup dengan
itu, Mak Zah memasang CD bacaan Ruqyah bagi menghilangkan rasa takut. Apabila
suami Mak Zah pulang, mereka mengambil keputusan untuk tidak menceritakan
perkara tersebut.
Malam itu, anak perempuan Mak Zah tidur di antara Mak Zah dan suaminya.
Sewaktu tidur, Mak Zah terkejut kerana dia merasakan punggungnya dicuit. “Kurang
hajar betul hantu ni molest aku,” bisik hati kecil Mak Zah namun dia terus
berpura-pura tidur. Suami Mak Zah terjaga pada jam 4 pagi dan seperti
kebiasaan, dia akan menjerang air dan menyiapkan sarapan untuk anak-anak yang
akan ke sekolah pada jam 6 pagi. Mak Zah yang masih lagi berbaring di katil,
tersentap. Dengan tiba-tiba, suaminya memasang CD bacaan Ruqyah. Hati Mak Zah
menjadi tak keruan namun dia merasakan agak berat untuk bertanya mengapa
suaminya memasang CD bacaan Ruqyah itu. Selama 2 pagi berturut-turut, suaminya
melakukan hal yang sama.
Suami dan anak-anak Mak Zah telah keluar rumah menjalankan tugas masing-masing.
Yang tinggal Cuma anak sulungnya yang akan ke sekolah pada pukul 6.30pagi. Mak Zah pula akan menunaikan solat subuh pada waktu itu. Arah kiblat di dalam
bilik utama betul-betul membelakangkan almari. Di luar pintu almari pula
tergantung sebatang penyangkut baju. Pagi itu, sewaktu dia sedang khusyuk
menunaikan sembahyang, tiba-tiba Mak Zah terdengar seperti ada sesuatu yang
bermain-main dengan penyangkut baju yang tergantung. Diselangi pula dengan
bunyi ketukan dari dalam almari. Apatah lagi almari tersebut letaknya
benar-benar dibelakang Mak Zah. Hilang segala khusyuk yang ada. Mak Zah
menyegerakan solatnya. Sejak bermulanya gangguan tersebut, setiap kali hendak
mengerjakan solat subuh, perkara yang sama akan berlaku.
Inilah almari yang dikatakan Mak Zah
Mak Zah tidak lagi selesa untuk bersendirian di dalam rumah itu. Jadi, setiap
kali suami dan anak-anaknyaa keluar, dia akan menyusul untuk bersenam dan hanya
akan pulang ke rumah pada jam 10 pagi. Selesai berjogging, Mak Zah ke pasar dan terus pulang ke rumah. Perkara
pertama yang dilakukan adalah mandi. Sewaktu di dalam bilik air, sekali lagi
Mak Zah dicuit dari belakang. “Gatalnya hantu ni,” getus hati Mak Zah. Dia
mempercepatkan mandiannya dan kemudian terus ke dapur untuk masak.
Jika berdua, cuit-mencuit ibarat gurau senda tapi jika dicuit ketika berseorangan, itu dah dikira GURAU KASAR.
Seperti yang dijangkakan dan yang telah diceritakan pada bahagian pertama,
apabila Mak Zah memasak nasi, ianya tetap menjadi mentah! Mak Zah menelefon
suaminya dan mengatakan bahawa dia tidak akan memasak pada hari itu kerana nasi
yang dimasak sentiasa mentah. Suaminya akur dan menyuruh Mak Zah membeli sahaja
makanan dari luar.
Selang beberapa hari kemudian, ibu mertua Mak Zah datang ke
rumah tersebut. Mak Zah berasa lega kerana sekurang-kurangnya ibu mertuanya
boleh menjadi peneman. Namun ibu mertuanya acapkali menegur kenapa nasi yang
dimasak lembik menjadi mentah.
Ibu mertua bergambar di dapur puaka
Suatu malam, suami Mak Zah mengajaknya meninjau rumah asal yang sedang
dalam proses pengubah suaian. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah sewa,
Mak Zah segera bertanya perihal suaminya memasang CD bacaan Ruqyah selama 2 pagi
berturut-turut. Pada mulanya, suami Mak Zah enggan menceritakan namun setelah
dipujuk barulah suaminya bercerita. Katanya, sewaktu dia hendak ke dapur
menjerang air, dia terdengar bunyi seruling dimainkan. “Macam ada lagu datang dari
arah bilik air dapur,” kata suami Mak Zah. Untuk memastikan hal itu, suaminya
masuk ke dalam bilik air tersebut untuk membuang air. Ternyata bunyi seruling
yang dihasilkan amat kuat berlagu. Dia kehairanan dan merasa tidak selesa lalu
diputarkan CD bacaan Ruqyah. Pagi kedua, bunyi yang sama kedengaran namun kali
ini, bunyinya agak perlahan dari pagi sebelumnya. Diputarkan lagi CD bacaan
Ruqyah.
Selesai suaminya bercerita, barulah Mak Zah membuka mulut berkenaan apa
yang dialaminya. Suaminya berpesan supaya hal tersebut jangan diceritakan
kepada anak-anak. Bimbang mereka menjadi takut.
Apabila tiba minggu kedua, Mak Zah dan keluarga sibuk berkemas dan
menghantar sedikit demi sedikit barang-barang ke rumah asal mereka yang hampir siap.
Malam itu Mak Zah, suami serta 2 orang anak lelakinya pergi menghantar barang. Tinggallah anak perempuannya bersama ibu mertua Mak Zah di
rumah sewa. Sebelum pergi, Mak Zah berpesan kepada anak perempuannya supaya
tidak membuka pintu jika ada yang mengetuk. Selesai menghantar barang, mereka
pulang. Sampai sahaja di rumah, ibu mertuanya berkata, “Masa kau orang tak ada
tadi, ada orang ketuk pintu,”. Anak perempuannya merasa resah dan terus
memasang bacaan Al-Quran menggunakan laptopnya, serta-merta bunyi tersebut
berhenti.
Kejadian seterusnya berlaku ketika Mak Zah sedang bersiap-siap hendak
melakukan riadah pagi. Sewaktu dia memandang cermin solek di bilik utama yang
menghadap pintu bilik, Mak Zah terpandang akan sebuah objek bewarna hitam
berlari laju dari arah pintu utama rumah menuju ke dapur. Sewaktu kejadian,
pintu utama rumah dibiarkan terbuka, namun setelah diperiksa, tiada sesiapa pun
yang berada di dalam rumah tersebut.
Sepanjang 2 minggu “dihiburkan”, tiba masanya Mak Zah dan keluarga pulang
ke rumah asal mereka yang telah siap diubah suai. Suami Mak Zah berkata,
sewaktu ingin memulangkan kunci rumah sewa kepada tuannya, dia naik kembali ke
rumah itu untuk memeriksa jika ada apa-apa yang tertinggal. Tuan rumah juga ada
bersama-samanya. Suami Mak Zah memujuk tuan rumah supaya menceritakan perihal
penyewa sebelumnya. Akhirnya tuan rumah akur. Dia menjelaskan bahawa rumah
tersebut sebelum ini disewa oleh seorang lelaki warga Thailand selama beberapa
tahun. Selepas beberapa bulan rumah tersebut kosong, Mak Zah dan keluarga pula
yang menyewa.
Suami Mak Zah segera menceritakan kejadian-kejadian aneh yang berlaku di
dalam rumah itu selama mereka tinggal di situ. “Rumah awak, malam-malam bunyi
seruling. Isteri dengan anak-anak saya pun dengar ketuk-ketuk pintu, dinding
dan dari dalam almari. Masak nasi pun selalu mentah!” kata suami Mak Zah. Tuan
rumah tersebut menjadi takut dan kemudian wanita itu masuk ke dalam bilik air
di dapur dan berkata, “Kau pergilah! Jangan ganggu dalam rumah ni!!”.
Kemudian, tuan rumah dan suami Mak Zah keluar dari rumah tersebut. Wanita itu
menyatakan hasratnya untuk menjual rumah itu.
Itulah kisah rumah yang sehingga kini belum dapat dirungkai misterinya.
Rumah yang terletak di blok 269, Yishun St 22 itu terus menjadi tanda tanya.
Ada yang berani nak jengah? Sila hubungi saya jika ada yang berminat.
Terima kasih tak terhingga kepada Mak Zah Shiqa dan keluarga kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami.
Gambar Hiasan dari filem Hantu Kak Limah Pulang Ke Rumah
Pada suatu petang yang nyaman, seorang bapa dan anak remajanya yang berasal dari Kota Singa pergi menziarahi sanak saudara mereka di daerah Pontian, Johor. Sudah lumrah, apabila melawat sanak saudara di sana, si bapa dan si anak ini pasti menerokai kawasan-kawasan semak dan belukar di tepi hutan sambil mencari sayur pucuk paku dan pucuk ubi untuk dijadikan santapan malam nanti.
Gambar Hiasan
Sedang Pak Attan dan anaknya, Saleh memetik sayur-sayuran, dia terpandang akan sebuah tempat di dalam kawasan hutan yang jauhnya terletak kira-kira 50 meter dari lokasi mereka berdua berdiri. Entah mengapa, Pak Attan amat tertarik dengan kawasan itu. Terdetik juga dalam hatinya, mana mungkin di dalam hutan yang dipenuhi semak samun, wujud sebuah tempat yang lapang dan bersih tanpa ada sehelai pun daun kering di atas tanahnya.
Gambar Hiasan
Pak Attan membuang jauh-jauh tanggapan buruk dan mengajak anaknya pergi ke kawasan tersebut. Tanahnya rata, angin yang berhembus sungguh mengasyikkan dan ditengah-tengahnya, terdapat pula sebatang pohon jambu air yang dipenuhi dengan buah jambu air yang ranum dan merah. Tapi pelik! Jambu airnya cuma bersaiz sebesar separuh ibu jari orang dewasa. Tanpa berlengah lagi, Pak Attan menyuruh Saleh mencari apa-apa objek yang boleh dijadikan beg bagi mengisi jambu-jambu tersebut. Dengan pantas, Saleh berlari keluar dari kawasan itu dan mula mencari di tepian semak samun.
Gambar Hiasan
"Ah, memang sudah tertulis rezeki kepunyaan mereka," cetus hati kecil Saleh. Sambil menggenggam erat beg plastik kuning yang ditemui, dia berlari menuju ke arah bapanya. Tanpa membuang masa, bapa dan anak itu mengumpul seberapa banyak buah "jambu mini" yang mereka mampu. Hampir penuh beg plastik itu. Niat mereka adalah untuk menghidangkan kepada keluarga serta sanak saudara selepas makan malam nanti, namun oleh kerana tidak sabar ingin merasai buah jambu air yang unik itu, mereka memakannya sambil berjalan pulang menuju ke rumah.
Setibanya di rumah, Pak Attan memberikan bungkusan plastik berisi jambu air mini dan sayur yang mereka pungut sebentar tadi kepada isterinya. Apabila melihat rupa "jambu unik" itu, masing-masing tidak berani untuk menjamah waima sebiji pun. Pak Attan membasuh buah jambu tersebut dan membawanya ke ruang tamu. Sambil menanti makan malam dihidangkan, Saleh dan Pak Attan terus menikmati buah jambu.
Makan malam ala kampung yang dihidangkan, membuka selera Saleh. Walaupun "kenyang jambu air", lauk ikan masin, pucuk paku masak lemak, pucuk ubi rebus ikan goreng dan sambal belacan, membuatkan Saleh menambah nasi dua kali.
Malam itu, Saleh terjaga dari tidurnya dengan perut yang memulas dan rasa mual. Dia berlari ke belakang rumah lalu muntah dengan banyaknya. Lebih menghairankan, Saleh hanya memuntahkan buah jambu air dan tidak ada sebutir nasi atau lauk pun yang terkandung di dalam muntah itu. Hendak dikatakan keracunan, pasti serpihan pucuk paku dan pucuk ubi akan menyusul sama dan Pak Attan pun mungkin menerima nasib yang serupa. Namun tidak. Saleh merasakan jumlah muntahnya sama banyak dengan jumlah jambu air yang dimakan. Setelah itu, dia berasa amat lega dan menyambung tidur.
Dalam waktu yang sama, tidak seorang pun yang perasan bahawa Pak Attan sedang "bertarung" dengan sesuatu sewaktu tidur. Isteri Pak Attan cuma terdengar suaminya mengigau dan meracau. Dia beranggapan bahawa suaminya kepenatan menjelajah kawasan kampung.
Keesokkan pagi, sewaktu mereka bersarapan beramai-ramai, Saleh menceritakan kejadian yang dialami olehnya pada lewat malam tadi. Pak Attan dengan selambanya menjawab, "pokok jambu yang kita ambil semalam, ada tuannya. Dia datang pijak kepala aku malam tadi sambil marah-marah dan tanya kenapa tak minta izin dulu sebelum ambil,". Semua tercengang mendengar penjelasan Pak Attan. Kepunyaan siapa atau apakah pohon itu? Wallahu'alam.
Selesai berkemas untuk pulang ke Singapura, Pak Attan mengambil keputusan untuk singgah di kawasan pohon jambu dan memulangkan lebihan buah jambu air yang tidak dimakan ke tempatnya. Pak Attan dan Saleh yakin dan ingat di mana tempatnya, namun apabila mereka tiba di lokasi itu dan melihat ke arah tanah lapang semalam, ternyata ianya tidak kelihatan lagi. Seolah-olah tempat itu tidak pernah wujud. Ianya dipenuhi dengan pokok-pokok yang besar dan semak yang tebal. Mereka mengambil keputusan untuk mencampakkan lebihan buah jambu air ke dalam kawasan semak dan sehingga hari ini, "tanah lapang" tersebut terus menjadi misteri. Bunian? Jembalang Tanah? Jin Hutan? Hanya Tuhan yang mempunyai jawapannya.
P/S: Pak Attan@Allahyarham Attan Bin Shamsuddin merupakan bapa mertua penulis dan Saleh@Salehudin Bin Attan merupakan suami kepada penulis. Kisah ini diceritakan kepada penulis oleh Saleh sendiri yang ketika itu berumur belasan tahun. Kejadian tersebut berlaku pada awal tahun 70-an.