Iklan EKSKLUSIF

Artikel TERKINI

Sunday 9 September 2012

MEMBURU 7 EKOR PUAKA!



Gambar Hiasan
Daun‐daun hutan di keliling datuk bergerak‐gerak bagaikan digoncang orang. Tanah yang dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah dengan tangan kiri. Dirasa daging pangkal lehernya bergerak‐gerak. Datuk senyum. Dia tahu perkara ini mesti dihadapi dengan cara lain. Dia teringat pesanan arwah neneknya dari tanah seberang, kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal leher bergerak, alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu hutan atau syaitan dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah. Dia duduk bertafakur mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera yang diamalkannya. Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan jelas, bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.

Muka datuk jadi merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat‐rapat. Mata datuk tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar, matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, dua giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading gajah. Dia diapit oleh enam jin yang sama hebat dengannya. 

"Kurang ajar, manusia laknat," suara itu bergema, daun‐daun hutan bergerak macam ditiup angin. Datuk diam bertafakur. 

"Kau tahu kesalahan kau manusia ?" Tambah suara itu . Belakang datuk terus dibasahi peluh datuk. Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang‐lubang kelemahan tubuhnya dengan ilmu batin yang dipusakainya dari arwah neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang menyatukan dirinya ke dalam tubuh datuk.


Pelajar UUM Dirasuk Jin




"Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku."
"Tidak," jawab datuk dengan berani.

"Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku."

"Aku sudah meminta kebenaran."

"Aku tidak membenarkan." Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur bergerak‐gerak.



"Kalau kau tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku masuk tadi." Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi semuanya.

"Kau manusia biadap," pekik jin itu, pokok hutan bergerak‐gerak.

Percakapan datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan‐lahan percakapan itu bertukar kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan kekuatan datuk benar‐benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan urat‐urat timbul di dahi dan lengannya. Peluhnya jangan dikira terus menerus membasahi seluruh badan.

Datuk tahu kalau dia kalah. Dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan dengan apa cara sekali pun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya lembik. Datuk senyum, satu tanda baik. Kemenangan akan berada di pihaknya. Datuk terus mengucapkan begini :


Jong keli jong, tali cemati tebang buluh bunting pagi melemang...


Belum pun tamat datuk mengucapkan mentera itu. Dia terasa pangkal belikatnya keras macam batu. Datuk tidak boleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk terus bertempik dengan menyeru nama guru ilmu batinnya, serentak dengan itu datuk mengambil senapang seraya berkata : "Kalau aku kalah, aku rebah, kalau aku menang, aku berdiri dan kau pulang ke tempat asalmu."
Gambar Hiasan

Datuk pun melepaskan satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk kena pada kening rusa. Rusa yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah ke mana. Kawasan itu jadi sepi. Pemandangan datuk kembali normal yang ujud di depannya sekarang iailah sebatang pokok besar dengan akar‐akar bergayutan yang mencecah muka bumi.

Datuk menang dalam pertarungan itu. Sebelum meninggalkan tempat itu, datuk segera mencari anak-anak kayu yang bercabang tujuh yang mengarah ke matahari jatuh. Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. Cabang yang tujuh ke bawah. Lepas itu datuk memotong cabang tujuh lalu berkata : "Ini kawasan manusia, dan kau telah pulang ke tempat asalmu."

Datuk pun mencari arah, dia mula masuk tadi. Dia duduk di situ lebih kurang setengah jam. Kemudianbaru kawan‐kawannya pulang. Semua binatang buruan di masukkan ke dalam bonet kereta Ford Anglia kepunyaan datuk. Dalam perjalanan pulang datuk dan kawan‐kawannya singgah di pekan Pengkalan Bharu. Mereka makan dan minum kopi disebuah warung dekat surau. Cara kebetulan pula tuan punya warung itu adalah kenalan datuk yang sama‐sama satu datang dari Aceh. Datuk pun menceritakan tentang peristiwa yang dialaminya. Menurut tuan punya warung itu, setiap pemburu yang berjumpa dengan rusa yang berjumlah tujuh, selalunya cukup sulit untuk keluar dari kawasan hutan, kalau keluar pun dia tidak akan sihat atau separuh gila.

"Biasanya bila meraka sampai ke rumah, mereka terus sakit dan meninggal, masa sakit itulah mereka tidak tentu arah, kalau silap dilayan atau tidak berjumpa dengan dukun yang handal penyakit itu akan berjangkit pada si anak, biasanya sakit suka pada anak bongsu." Terang tuan punya warung itu pada datuk. Datuk terdiam kemudian datuk mengajak tuan punya warung itu ke tepi sungai. Datuk minta tuan punya warung itu memandikannya dengan air yang bercampur dengan daun tujuh jenis, untuk mengelakkan badi rusa itu mengikut datuk balik ke rumah.

Walau bagaimanapun, datuk terhindar dari serangan sebarang penyakit. Malah, kegemarannya untuk memburu bertambah giat dan hebat. Asal terdengar saja padanya ada kawasan terdapat landak, kancil atau kijang, datuk tidak akan melepaskan peluang untuk memburu. Kalau tidak dapat waktu siang, dia akan pergi waktu malam. Memburu adalah suatu kerja yang amat dicintai oleh datuk. 

Kalau sudah tiba masanya datuk untuk berburu. Jangan siapa cuba menghalang. Dia tidak peduli. Kalau dilarang juga datuk naik darah. Selalu jadi korban kemarahan datuk ialah nenek saya yang tidak bergitu senang dengan sikap datuk itu. Selain dari berburu datuk cukup rajin berlajar ilmu‐ilmu kebatinan. Datuk pernah bertapa di Gua Ulu Licin tujuh hari tujuh malam tanpa makan sebiji nasi, tapi tubuh datuk tidak
susut.

Kalau ada dukun ilmu batin mengubat orang cara kebatinan, datuk tidak segan‐segan berkawan dan mencuri ilmu dari dukun itu. Anehnya, datuk tidak berhajat untuk menjadi seorang dukun. "Semua yang dicari hanya sekadar untuk pelindung diri," kata datuk...






Petikan BERCAKAP DENGAN JIN - Jilid 1

Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud telah menghasilkan lebih 284 Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ),16 daripadanya sudah dibukukan dan jualannya menurut suatu kajian Prof.Adnan Nawang melebihi SEJUTA naskhah.Hal ini memperlihatkan sambutan meluas pembaca terhadap siri novel itu yang sudah bermula sejak tahun 1981 hingga 2005. Tamar Jalis adalah nama samaran penulisnya yang diambil daripada satu nama jin yang terdapat dalam Hikayat lnderaputera yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu tradisional. 


Segalanya Kekal MISTERI Sekiranya Tidak Mengkaji

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Iklan Teks :

Telekung IMPORT Vietnam/Indonesia/Organza - KLIK

Anda mencari HOMESTAY di KELANTAN Pada Harga Ekonomi? - Klik

Ingin TERJEMAH Dokumen/Web/Produk Anda kepada bahasa Inggeris/Melayu/Korea? - Klik

Jawatan kosong: Pekerja Part-Time Di Perlukan

Artikel Popular Minggu Ini